Tanah runtuh di Jalan Pakan-Entabai Engkamop

Kelihatan sebuah kenderaan nyaris terjatuh ke dalam kawasan runtuhan.
Advertisement

Oleh Dean Adam

PAKAN, Feb 24: Kejadian tanah runtuh di Jalan Pakan-Entabai Engkamop nyaris meragut nyawa individu yang menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda, awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kejadian tersebut dilaporkan berlaku kira-kira pukul 4 pagi.

Advertisement

Bagaimanapun katanya, tiada laporan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam insiden berkenaan.

“Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor telah diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi susulan.

“Apabila tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati terdapat sebuah kenderaan nyaris terjatuh ke dalam kawasan tanah runtuh,” katanya di sini hari ini.

Keadaan laluan yang terputus akibat kejadian tanah runtuh.

Jurucakap sama menambah, pemandu serta penumpang kenderaan tersebut bagaimanapun telah dibawa ke klinik yang berdekatan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, setakat ini laluan yang terputus dua berkenaan masih belum dapat dilalui.

“Pasukan bomba juga membantu menghantar para pelajar asrama ke SMK Pakan.

“Maklumat lanjut akan dikemaskini dari masa ke semasa,” katanya. — DayakDaily

Advertisement