Tanah aset berharga masyarakat Dayak, usahakan dengan teknologi moden — Abang Johari

Abang Johari tiba di Majlis Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam ini.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 25 Jun: Masyarakat Dayak memiliki tanah yang luas dan merupakan aset berharga, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Justeru katanya, tanah tersebut harus diberikan nilai tambah, diusahakan bagi memberi manfaat kepada pemiliknya.


“Jangan biarkan tanah tidak diusahakan, gunakan ia untuk pertanian secara komersial bagi menghasilkan produktiviti yang baik.

“Aktiviti pertanian harus menggunakan teknologi moden termasuk digitalisasi di dalam usaha untuk mengeluarkan banyak lagi makanan dan komoditi,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam ini.

Tambah Abang Johari, di dalam keadaan dunia menghadapi krisis makanan, Sarawak tidak menghadapi masalah untuk menjadi negeri negeri pengeluar makanan kerana memiliki tanah yang luas.

Sambutan Gawai Dayak Tahun ini yang bertemakan Segulai Sejalai turut dihadiri isteri Premier, Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang bersama kira-kira 2,000 tetamu yang lain.

Hadir sama Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah, Dato Sri Dr Sim Kui Hian serta Pengerusi Jawatankuasa Kerja Majlis Sambutan Gawai Dayak 2022 Dato Gerawat Gala.

Pada jamuan malam ini juga akan diadakan perarakan ratu cantik termasuk penampilan khas pemenang Miss Universe 2020 Francisca Luhong James, peserta Miss World Malaysia 2019 dari Sarawak Juliana Sambai Sibat dan Mr Tourism World 2017 Joshua Lennet.

Turut serta dalam perarakan itu adalah pemenang Kumang/Dayung Sangon/Keligit Gawai 2022 yang diadakan di pelbagai bahagian dengan empat wakil akan dipilih dari setiap komuniti. — DayakDaily