Tan Sri Bujang Mohd Nor pemimpin cemerlang – Premier Abang Johari

Abang Johari (berdiri dua kiri) menziarahi keluarga Allahyarham di kediamannya.

KUCHING, 11 Okt: Mantan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Bujang Mohd Nor merupakan pemimpin yang cemerlang.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Allahyarham cemerlang dalam apa jua jawatan yang dipegang sepanjang perkhidmatannya untuk kerajaan negeri dan Sarawak amnya.

“Hari ini, kita berasa sedih kerana kehilangan seorang pentadbir, pengurus dan ahli ekonomi yang telah menyumbang begitu banyak kepada pembangunan Sarawak,” ujarnya sebagai memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas).


Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas menziarahi keluarga Allahyarham di kediamannya, pagi tadi.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 8.40 malam Selasa di Pusat Pakar Perubatan Normah pada usia 88 tahun.

Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang, Kuching pada hari ini selepas selesainya solat jenazah. — DayakDaily