Tambah jumlah penerbangan menjelang tarikh mengundi, gesa Abdul Karim

Abdul Karim ketika ditemui di Perasmian Sarawak Adventure Challenge di Kampung Beliong.

Oleh Chris Bishop

ASAJAYA, 23 Okt: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) bersama syarikat-syarikat penerbangan digesa menambah jumlah penerbangan bagi memudahkan rakyat Sarawak balik mengundi.

Menteri Beliau, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia juga diyakini boleh mengurangkan harga tiket ke tahap minimum.


“Saya difahamkan dua tiga hari ini kedengaran isu tambang penerbangan sudah naik.

“Tetapi ekoran daripada reaksi awam dan aduan daripada Menteri Pengangkutan Sarawak dan ramai pemimpin yang lain, pihak MAVCOM bersama syarikat penerbangan akan mengatur semula jadual penerbangan,” katanya.

Abdul Karim berkata demikian ketika ditemui di Perasmian Sarawak Adventure Challenge di Kampung Beliong hari ini.

Tambah beliau, penyusunan jadual penerbangan tersebut melibatkan tarikh sebelum dan selepas hari mengundi (19 November) bagi Pilihnaraya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, ini akan memudahkan rakyat termasuk pelajar Sarawak yang berada di Semenanjung Malaysia balik bagi menunaikan tanggungjawab mengundi.

Dalam pada itu, Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan memaklumkan bahawa kerajaan telah membuat keputusan tidak memberi subsidi penerbangan bagi rakyat Sarawak balik untuk tujuan mengundi.

“Ini adalah kerana ia akan menyalahi undang undang pilihanraya kalau kita bayar tambang untuk mereka kembali mengundi,” ujar Abdul Karim. DayakDaily