Taman Agro Kopi di Padawan bakal rancakkan pelancongan — Dr Rundi

Dr Rundi (tengah) pada sidang media di Padawan. Turut kelihatan Dr Jerip (kiri) dan Sagah (kanan).

PADAWAN, 22 Jan: Taman Agro berasaskan kopi bakal diwujudkan di kawasan Padawan, kata Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom.

Justeru beliau menggesa pihak yang terlibat agar melaksanakannya dengan sebaik mungkin dan memastikan ia berjaya selain menjadi satu lagi produk pelancongan agro.

“Kalau kita buat sesuatu mesti ada jenama, dan kita buat promosi secara agresif.


“Taman Agro berasaskan kopi sesuai diwujudkan di sini, semua aktiviti merangkumi penyelidikan dan pembangunan juga disini,” katanya.

Dr Rundi berkata demikian di sidang media selesai Majlis Penyerahan Rural Growth Centre (RGC) Padawan kepada Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) di Pejabat Daerah Kecil Padawan hari ini.

Dengan pengambil alihan tersebut, GKCDA merancang mewujudkan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) kopi di RGC Padawan dengan peruntukan RM8 juta.

Selain itu, peruntukan RM7 juta juga disediakan bagi menyediakan infrastruktur jalan ke kawasan penanaman kopi iaitu Ladang Mini Bayur-Jambu.

Dr Rundi menyempurnakan acara simbolik menanam pokok kopi di kawasan Pejabat Daerah Kecil Padawan.

Pada sidang media yang sama, Timbalan Menteri Pengangkutan yang juga Adun Mambong Datuk Dr Jerip Susil memberitahu terdapat lebih 600 pekebun kecil kopi di sekitar Padawan.

Katanya, mereka telah menanam kopi sejak 3 tahun yang lepas dan kini sudah membuahkan hasil.

“Saya difahamkan bahawa ada juga penanam kopi di kawasan Tarat, Tebedu dan Serembu.

“Pengerusi GKCDA mahu kita wujudkan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) kopi di sini,” katanya.

Tambah Dr Jerip, tanah seluas lebih 40 hektar juga dicadang bagi tujuan penanaman kopi yang melibatkan pelaburan swasta.

Hadir sama Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat yang juga Pengerusi GKCDA Dato Sri Roland Sagah. — DayakDaily