Taib dan isteri selamat kembali di Kuching setelah sebulan bercuti

Tun Pehin Sri Taib selamat kembali di Kuching setelah bercuti sebulan di luar negara.

KUCHING, 17 Jan: Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib selamat kembali ke Kuching selepas beristirahat selama sebulan di luar negeri.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak, Tun Pehin Sri Taib tiba di Hornbill Skyways, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 8.50 malam tadi.

Ketibaan Tun Pehin Sri Taib dan isteri telah disambut oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Dato Gerawat Gala ,Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Datuk Bandar Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng dan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir.


Dalam pada itu, pada 11 Jan lepas, Toh Puan Raghad Kurdi telah dianugerahkan Nona VIP Award sempena Anugerah pengiktirafan Nona Superwoman Award 2022 yang telah diadakan di Kuala Lumpur. — DayakDaily