Oleh Chris Bishop
KUCHING, 13 April: Pematuhan dari segi undang-undang oleh para peniaga di bazar Ramadan di seluruh Sarawak sangat memuaskan.
Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak Dato Stanley Tan, hasil pemantauan mendapati semua peniaga meletakan tanda harga pada jualan mereka.
“Itu yang paling penting dan dari segi timbang dan sukat. Kita juga membuat pemeriksaan terhadap alat penimbang yang digunakan.
“Kita juga membuat pemeriksaan dari segi barangan tiruan, harga barang dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengadakan pemantauan di bazar Ramadan Bandar Baru Semariang di sini, hari ini.
Tambah Tan, Ops Pantau Bazar Ramadan akan terus dilaksanakan sehingga sambutan Hari Raya Aidilfitri akan datang.
Setakat ini katanya, tiada kesalahan dikesan dan cuma terdapat segelintir sahaja peniaga gagal mematuhi peraturan.
“Mereka ini hanya berniaga di bulan Ramadan sahaja, bukan peniaga tetap.
“Maka pegawai kita telah memberikan nasihat kepada mereka,” katanya.
Dalam pada itu, ujar Tan, pihak Jabatan Agama Islam Sarawak (Jaid) juga turut bersama kementerian khususnya melakukan pemantauan dari segi penggunaan tanda halal.
Seramai 173 orang pegawai penguat kuasa KPDNHEP dan 101 pegawai pemantauan harga telah meningkatkan pemeriksaan sempena bulan Ramadan dan sehingga Hari Raya Aidilfitri. — DayakDaily