Tadika, taska di zon merah akan dibenarkan beroperasi secara bersyarat

Datuk Seri Fatimah Abdullah

KUCHING,11 Nov: Tadika dan taska di kawasan zon merah akan dibenarkan operasi dengan syarat ia perlu membuat permohonan kepada Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak (KKWPKK).

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata kebenaran beroperasi hanya akan diberikan kepada pengusaha tadika atau taska terlibat jika terdapat keperluan mendesak atau permohonan daripada ibu bapa kanak-kanak yang didaftarkan di taska atau tadika tersebut.

Katanya, setiap permohonan untuk beroperasi oleh pengusaha tadika dan taska di kawasan zon merah akan dibincangkan kes demi kes dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC) bagi mempertimbangkan kebenaran untuk pusat terbabit meneruskan operasi mereka.

“Kita perlu pertimbangkan jika terdapat ibu bapa yang bertugas sebagai petugas barisan hadapan yang memohon, kita perlu pertimbangkan kes demi kes khususnya untuk kawasan yang berada di zon merah.

“Ketika ini hanya Daerah Kuching sahaja yang diistyharkan sebagai zon merah dan berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) jadi arahan penutupuan operasi sementara taska dan tadika dikuatkuasakan di daerah tersebut manakala daerah lain, tadika dan taska ini boleh beroperasi seperti biasa dengan mematuhi setiap prosedur operasi ‘standard’ (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, permohonan yang dihantar oleh pengusaha tadika dan taska perlu disokong oleh permohonan daripada ibu bapa yang mahukan tadika atau taska terlibat beroperasi.

“Ibu bapa terlibat haruslah menyatakan sebab-sebab mengapa mereka perlu menghantar anak mereka ke taska atau tadika terbabit, sebagai contoh kedua, ibu bapa yang bertugas sebagai petugas barisan hadapan selain ketiadaan saudara terdekat untuk menjaga anak mereka.

“Situasi seperti ini akan dibincangkan dan dipertimbangkan dalam mesyuarat SDMC jika terdapat permohonan dari pengusaha tadika atau taska terlibat kepada KKWPKK,” katanya.

Tambah Fatimah, jika diberikan kebenaran untuk beroperasi, SOP akan diberikan kepada pengusaha terbabit yang beroperasi di kawasan zon merah bagi memastikan kadar pematuhan yang tinggi serta keselamatan kanak-kanak yang dihantar ke tadika dan taska tersebut terjamin. — DayakDaily