Tabuan Jaya bakal seperti Mid Valley – Datuk Bandar MBKS

Wee bersama penduduk Tabuan Jaya di Program Kesedaran Mencegah Kebakaran.

KUCHING, 16 Dis: Tabuan Jaya bakal menjadi hub pengangkutan seperti Mid Valley Kuala Lumpur, kata Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng.

Katanya, ia berlaku setelah kerajaan kini sedang membina Sistem Transit Aliran Autonomi (ART).

“Pelbagai projek mega telah dirancang dan dibina di sekitar, maka jumlah penduduk Tabuan Jaya dijangka meningkat.


“Justeru kerajaan kini berusaha menyediakan satu kemudahan pengangkutan yang efisien iaitu ART.

“Tabuan Jaya bukan sahaja akan menjadi kawasan komersial, tetapi hub pengangkutan seperti Mid Valley di Kuala Lumpur,” katanya.

Wee berkata demikian di Program Kesedaran Mencegah Kebakaran di Mayor Song Swee Guan Park di Tabuan Jaya hari ini.

Tambah beliau, dengan pembangunan pesat di kawasan Tabuan Jaya, masyarakat terdedah kepada berlakunya kebakaran.

Justeru, Wee menggesa setiap keluarga memeriksa peralatan elektrik di rumah masing-masing bagi mencegah berlakunya kebakaran.

“Kesedaran berhubung perkara ini amatlah penting, kita mesti sentiasa memeriksa semua peralatan dan memastikan ia selamat digunakan,” kata Wee. — DayakDaily