Syarikat didenda RM5 juta bagi kesalahan pengubahan wang haram

Court — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 9 Okt: Sebuah syarikat telah dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM5 juta bagi kesalahan pengubahan wang haram.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi Pengarah Penguatkuasa Azman Adam berkata, syarikat tersebut menjalankan aktiviti menjual produk makanan tambahan kesihatan.

Katanya, syarikat telah mempromosikan dan menjalankan aktiviti jualan langsung tanpa lesen yang sah daripada KPDNHEP.


Syarikat tersebut telah dijatuhkan hukuman bersalah di hadapan Hakim Y.A Tuan Ahmad Kamar Jamaludin ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Jenayah 10, Kuala Lumpur pada 4 Okt.

“Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya KPDNHEP dan syarikat terbabit telah mengaku bersalah ke atas kesalahan urusniaga jualan langsung tanpa lesen sah dan pengubahan wang haram itu.

“Mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda ke atas syarikat sebanyak RM150,000 di bawah kesalahan Seksyen 4(2) AJLSAP 1993 iaitu menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen yang sah bagi kesalahan prediket.

“Manakala bagi kesalahan pengubahan wang haram, syarikat telah dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM5 juta di bawah kesalahan Seksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001,” kata Azman dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, syarikat menerima wang berjumlah RM450,000 hasil daripada aktiviti haram dengan menggunakan 3 akaun semasa syarikat di 3 buah bank, sebagai peralatan kesalahan. — DayakDaily