SV juga membantu pekerja terkandas akibat Covid-19 pulang ke Sarawak

Fazzrudin (dua dari kiri) menyampaikan sijil kepada sukarelawan yang menyertai Sambutan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2020 anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak di Kompleks Belia dan Sukan Sarawak.

KUCHING, 6 Dis: Sarawak Volunteers (SV) akan membantu lebih ramai pekerja rakyat Sarawak yang hilang pekerjaan akibat Covid-19 dan sedang terkandas di Semenanjung Malaysia dan Sabah untuk kembali pulang ke negeri ini.

Penasihat SV dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman berkata ini walaupun ketika ini pihaknya lebih fokus membantu pelajar Sarawak yang terkandas di semenanjung untuk kembali ke negeri ini selepas institusi pengajian tinggi mereka di sana ditutup akibat Covid-19.

“Sebenarnya fokus kami adalah kepada pelajar, tetapi selain daripada itu oleh kerana keadaan yang amat terdesak kita pun rangkumkan mereka (pekerja rakyat Sarawak) sekali,” katanya selepas majlis perasmian Sambutan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2020 anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak di Kompleks Belia dan Sukan Sarawak, di sini, hari ini.


Fazzrudin berkata ini terutamanya pekerja terbabit yang betul sedang dalam kesusahan terkandas di Semenanjung Malaysia dan Sabah kerana dibuang kerja dan tiada lagi tempat kediaman akibat Covid-19 yang sedang melanda negara.

Beliau berkata setakat ini SV sudah membantu lebih kurang 10,000 pelajar anak Sarawak di wemenajung dan Sabah dengan hanya sebahagian kecil adalah pekerja yang hilang pekerjaan untuk pulang ke Sarawak sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

Katanya usaha tersebut adalah dengan kerjasama dengan Rumah Sarawak di Kuala Lumpur, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Kementerian Pengajian Tinggi dan pelbagai kementerian lain.

“Sekarang ada (pelajar Sarawak masih di Semenanjung Malaysia dan Sabah) tetapi mereka tidak ada keperluan untuk balik,” katanya dan mempelawa pelajar terbabit sekiranya mempunyai cabaran terus berada di sana untuk berhubung dengan SV atau Rumah Sarawak.

Selain itu Fazzrudin berkata program Inisiatif Graduan Pulang Sarawak (i-GPS) dari kerajaan Sarawak bagi membantu mengurangkan beban pelajar di Semenanjung Malaysia membeli tiket penerbangan bagi pulang ke Sarawak ketika perayaan utama masih diteruskan termasuk untuk perayaan Krismas tahun ini. — DayakDaily