Suspek tersungkur, cuba lari dari polis di Bau

Kereta suspek yang remuk selepas melanggar kereta polis dan kereta orang awam di lokasi kejadian.

Oleh Juetila Ozzy

BAU,12 Feb: Cubaan seorang lelaki melarikan diri daripada pihak polis gagal apabila keretanya tersepit diantara dua buah kereta di Kampung Grogo, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon berkata suspek yang berusia 24 tahun dan dari Taman Bowood di Jakan Matang itu dipercayai terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah.


Poge memberitahu, pasukan operas semasa kejadian menahan kereta suspek untuk pemeriksaan iaitu sekitar jam 8.45 malam.

“Suspek kemudian diarahkan keluar dari dalam kereta tetapi dia enggan memberi kerjasama dan terus memecut laju keretanya dari lokasi sehingga melanggar sebuah kereta polis dan kereta orang awam.

“Susulan itu kereta suspek telah tersepit di antara kedua-dua kereta tersebut dan pasukan operasi bertindak terus menahan suspek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya juga, kekerasan minima terpaksa digunakan apabila suspek bertindak agresif kepada anggota operasi.

“Hasil pemeriksaan awal ke atas suspek dan keretanya, bagaimanapun tidak menemui apa-apa barang salah dan suspek juga mendakwa tiada menyimpan dadah,” katanya.

Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.-DayakDaily

Kereta suspek yang remuk selepas melanggar kereta polis dan kereta orang awam di lokasi kejadian.