Suspek rogol remaja perempuan diburu polis

Violence against women and children. — DayakDaily.com file pic. // Photo: PIxabay

KUCHING, Jun 4: Polis giat memburu seorang lelaki selepas disyaki merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun di kawasan taman rekreasi di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Dennis Leong Soon Kuai berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian rogol tersebut daripada mangsa itu pada pukul 9 malam.

Jelasnya, berdasarkan laporan yang diterima, perogolnya adalah seorang lelaki berusia 20 tahun yang dikenalinya.

“Mangsa mendakwa mengenali suspek tidak lama sebelum ini sebelum dia menaiki sebuah motosikal dengan suspek.

“Dakwanya lagi, suspek kemudian memberhentikan motosikalnya di kawasan taman rekreasi di belakang Wisma Bapa Malaysia di sini sebelum lelaki berkenaan merogolnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dennis menambah, mangsa mendakwa selepas suspek melakukan perbuatan terkutuk itu, dia telah ditinggalkan oleh suspek.

Katanya, suspek telah melarikan diri dan usaha mengesan lelaki itu sedang giat dilakukan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana rogol,” ujarnya lagi. — DayakDaily