Oleh Dean Adam
KUCHING, Feb 24: Seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes penipuan tawaran pekerjaan melibatkan 47 rakyat Malaysia di Kemboja ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.
Permohonan reman bermula Februari 24 hingga 28 itu diluluskan oleh Pendaftar Mahkamah Kuching, Dora Undau kira-kira pukul 10 pagi.
Semalam, seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes penipuan itu berjaya diberkas.
Suspek ditahan oleh sepasukan anggota polis kira-kira pukul 3 petang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah mengesahkan penahanan suspek tersebut dan siasatan lanjut sedang dilakukan.
Sehingga kini, seramai 23 orang telah tampil membuat laporan polis berhubung kes berkenaan.
Pada Februari 17 lalu, seramai 40 rakyat Sarawak yang ditahan di penjara Kemboja kerana disyaki terlibat aktiviti perjudian dalam talian secara haram selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. — DayakDaily