Suspek disyaki ejen loteri haram ditangkap di Kg Opar

Kelihatan suspek yang ditangkap untuk siasatan lanjut.

BAU, 19 Julai: Seorang lelaki ditangkap kerana disyaki ejen loteri haram di sebuah rumah kedai Kampung Opar, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata suspek ditangkap dalam satu serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bau di bawah Op Dadu Khas sekitar jam 6.15 petang.

Jelasnya, suspek ditangkap selepas hasil pemeriksaan menemui beberapa bukti mengaitkan suspek terlibat dengan kegiatan perjudian tersebut.


Turut dirampas daripada suspek ialah satu telefon bimbit, sejumlah wang tunai dan kertas tertulis angka-angka dipercayai berkaitan loteri haram.

Suspek dan barang rampasan kemudian dibawa ke IPD Bau untuk tindakan selanjutnya di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih daripada RM200,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun. — DayakDaily