[Surat Kepada Pengarang] Keluarga Malaysia sebagai teras dasar ekonomi rakyat

Keyboard. — Dayakdaily.com file pic. // Photo: Pixabay
Advertisement

Surat Kepada Pengarang

Oleh Asan Ali Golam Hassan

Kita belajar daripada Dasar Ekonomi Baru 1971, dengan tumpuan kepada kepelbagaian ekonomi, penekanan kepada pembangunan luar bandar, pengurangan kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat telah menjadi objektif utama pembangunan ekonomi negara.

Advertisement

Matlamat perancangan pembangunan “pertumbuhan dan pengagihan yang saksama”. Pendekatan pembangunan ketika itu lebih kepada membangunkan kumpulan sasaran yang terpinggir dari arus pembangunan perdana”, dari mundur, tidak membangun – dengan tulang empat kerat kita akan membangun bersama-sama dan hasilnya kita akan agihkan bersama-sama, seakan-akan satu keluarga.

Memang diakui strategi-strategi disasarkan khusus untuk luar bandar, Keluarga Malaysia yang berpendapatan rendah. Rancangan Buku Merah, konsep Saemaul Undong, pembangunan koperasi desa, FELDA, FELCRA, RISDA, KEJORA, KESEDAR, KETENGAH, MADA, DARA dan lain-lain direka khusus untuk masyarakat luar bandar. Ketika itu juga, sektor pertanian masih menjadi teras ekonomi negara dan sektor luar bandar (pertanian) merupakan penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar dan gunatenaga.

Walau bagaimanapun sektor luar bandar mula dilihat kurang penting apabila teras ekonomi negara memasuki era perindustrian sejak pertengahan 1980an. Diakui, pembangunan juga dilihat sebagai satu proses transformasi ekonomi dari ekonomi berasaskan pertanian kepada ekonomi yang berasaskan perindustrian dan perkhidmatan dan ketika ini proses perindustrian di Malaysia berlaku dengan pesat.

Selain itu, sejak pertengahan 1980an, pendekatan pembangunan juga nampaknya telah berubah daripada kita “membangunkan kumpulan sasaran yang terpinggir”, kepada “kita bangunkan dahulu satu kumpulan yang terbaik yang kemudiannya akan dapat membangunkan satu kumpulan lain lebih besar”. Mudahnya, untuk maju, 2-3 orang/syarikat perlu dimajukan dahulu, yang kemudiannya akan berlaku proses titisan ke bawah yang akan memajukan satu kumpulan lain yang lebih besar. Jika pada sebelum pertengahan 1980an falsafah pembangunan — “membangunkan kumpulan sasaran yang terpinggir” berubah kepada “membangunkan kumpulan yang terbaik”.

Kaedah “membangunkan satu kumpulan yang terbaik” ini lebih cepat dari kaedah “membangunkan kumpulan sasaran yang terpinggir” walau bagaimana pun dari segi agihan sudah tentulah kaedah “membangunkan kumpulan sasaran yang terpinggir” lebih baik walaupun ia mungkin akan mengambil masa yang panjang.

Apa yang dikhuatiri melalui kaedah “membangunkan satu kumpulan yang terbaik” berlaku ketakseimbangan agihan peluang yang adil kepada rakyat untuk terlibat arus pembangunan perdana. Globalisasi dan libralisasi serta perubahan struktur ekonomi kearah K-ekonomi dan ICT yang dijalankan seiring dengan pendekatan “membangunkan satu kumpulan yang terbaik” yang nampaknya tidak banyak membantu sektor dan rakyat yang sebahagian besarnya tidak mempunyai modal, pendididkan, tingkat pendapatan yang secara relatifnya lebih rendah dan diluar arus pembangunan perdana.

Dalam sesetengah keadaan, peluang untuk golongan berpendapatan sederhana dan industri kecil untuk terlibat sama dalam arus pembangunan utama diambil oleh orang politik atau mereka disekeliling orang politik. Terdapat agensi-agensi kerajaan yang dibentuk bukan lagi untuk membangunkan kumpulan sasar tetapi menggunakan kumpulan sasar untuk agensi berkenaan mengumpul kekayaan. Proses titisan ke bawah yang akan memajukan satu kumpulan golongan berpendapatan sederhana dan industri kecil lain yang lebih banyak/ramai seakan-akan tidak berlaku. Yang berlaku hanyalah membentuk satu rantaian kronisme dan nepotisme politik-kapitalis yang materialistik di bandar dan di luar bandar.

Falsafah pembangunan akan datang wajar dipulangkan semula kepada “pertumbuhan dan pengagihan yang saksama + membangunkan kumpulan sasaran yang terpinggir daripada arus perdana pembangunan”. Falsafah yang sama seperti era 70an dan 80an, membangun bersama-sama seakan-akan satu keluarga tetapi dalam persekitaran dan cabaran yang baru.

Sebelum Covid-19 dan PKP lagi struktur ekonomi Malaysia pada dasarnya tidak pro kepada pencari kerja, pekerja, pengguna dan golongan berpendapatan rendah. Pencari kerja yang bersaing dengan pekerja asing, gaji yang rendah dan berhutang sebelum mula bekerja (PTPTN), pengguna yang berhadapan dengan masalah kos sara hidup yang tinggi, pendapatan berkurangan, ‘scammer’ yang berluasan dan peratusan golongan berpendapatan rendah (B40) yang ramai. Mereka, dengan tabungan yang rendah sangat terkesan jika berlaku sesuatu perkara yang diluar kawalan mereka.

Gambaran ekonomi negera dengan pendapatan negera (KDNK), eksport, pengeluaran industri, perniagaan runcit, hotel dan lain-lain yang semakin meningkat walau bagaimanapun ianya tidak sampai kepada sebahagian besar rakyat Malaysia, Keluarga Malaysia.

Sebagai perdana menteri Malaysia yang bukan berasal daripada golongan bangsawan, dari diluar bandar, semasa kecil menjual ais krim sekitar kampung, pastinya YAB Perdana Menteri merasai ekonomi rakyat, kehidupan golongan yang berpendapatan rendah dan apa yang rakyat kebanyakan harapkan.

Banyak perkara yang kita belajar dari Covid 19, PKP, kemerosotan ekonomi dan ketidakstabilan politik. Kini adalah masanya untuk kita, rakyat dan negara, bersama-sama berubah kepada sesuatu yang lebih baik. Dalam keadaan rakyat berhadapat dengan pelbagai masalah dan masa depan yang tidak menentu dan kemungkinan berhadapan dengan kemelesetan ekomomi dunia pada tahun hadapan (2023), terlalu berpolitik tidak akan menyelesaikan masalah rakyat. Rakyat memerlukan kerajaan yang stabil, cekap dan cepat membuat keputusan.

Slogan Keluarga Malaysia dicetuskan oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri pada 22 Ogos 2021 dalam ucapan yang pertama sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9 “Marilah kita, dengan fikiran terbuka dan dada yang menerima, mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan. Kita perlu bersepakat untuk menyelamatkan keluarga kita iaitu Keluarga Malaysia”. Konsep Keluarga Malaysia ini meliputi aspek keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran. Ia sangat bersesuaian dan berkaitan dengan bagaimana rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa saling berganding bahu berkerjasama sebagai sebuah keluarga dalam memulihkan negara daripada impak negatif pendemik Covid-19.

Kini, pastinya rakyat sedang berharap sesuatu yang mengembirakan, perancangan dan falsafah pembangunan Keluarga Malaysia diterterjemahkan dalam bentuk perlaksanaan daripada pentadbiran YAB Dato’ Sri Ismail Sabri seperti yang dibentang dalam Bajet 2023. Sebanyak 43 kali “Keluarga Malaysia” disebut dalam Bajet 2023, Bantuan Keluarga Malaysia, Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia, Cahaya Mata Keluarga Malaysia, Skim Penjaja Muda Keluarga Malaysia, Pakej Remaja Keluarga Malaysia, Kasih Suri Keluarga Malaysia, Jualan Murah Keluarga Malaysia, Jaminan Kerja Keluarga Malaysia, Skim Penjaja Kecil Keluarga Malaysia dan lain-lain.

Falsafah pembangunan Keluarga Malaysia berteraskan Dasar Ekonomi Rakyat wajar diterjemah sebagai teras dasar pembangunan akan datang iaitu Visi Nasional yang baru setelah tamatnya Wawasan 2020. Iaitu iltizam YAB Dato’ Sri Ismail Sabri, Keluarga Malaysia, dipacu oleh Ekonomi Rakyat dalam mencapai pertumbuhan ekonomi yang kukuh, pengurangan kadar inflasi dan pengganguran, peluang dan hasil pendapatan gig ekonomi yang dirasai oleh ramai golongan belia, peningkatan nilai ringgit dan pelaburan, pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif dalam satu struktur ekonomi Ekonomi Rakyat Keluarga Malaysia pada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, bandar, luar bandar dan rantaian bekalan.

Dasar Ekonomi Rakyat, Transformasi Ekonomi Rakyat (2022-2030), iaitu pembangunan ekonomi yang berpaksaikan kepada penduduk tempatan; pelajar, pelabur, peniaga, pekerja dan pengguna; warganegara Malaysia yang kini sama-sama berjuang dalam tempoh getir pasca Covid 19, PKP, bersedia dan saling berkerjasama sebagai suatu keluarga dalam menghadapai kemungkinan kemelesetan ekonomi global pada tahun akan datang.

Asan Ali Golam Hassan
Prof Dr dalam bidang ekonomi perancangan dan pembangunan

18/10/2022

This is the personal opinion of the author and does not necessarily represent the views of DayakDaily. Letters to the Editor may be lightly edited for clarity.

Advertisement