Oleh Chris Bishop
BAU, DISEMBER 14: Kerajaan Negeri akan melaksanakan kerja-kerja penyukatan tanah secara berterusan untuk memastikan ramai lagi penduduk mendapat surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.
ADUN Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep berkata dokumen pemilikan tanah itu memberi peluang kepada pemilik untuk membangunkan tanah mereka.
āDengan adanya dokumen pemilikan tanah ini, maka seharusnya kita mencari peluang untuk membangunkan tanah tersebut sama ada melalui pertanian moden, program homestay dan lain-lain lagi.
āIa adalah proses untuk memperkasakan status sosio-ekonomi penduduk,ā katanya pada ucapan aluan di Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri di Dataran Bazaar Krokong di Bau, hari ini.
Majlis penyerahan surat hak milik tanah tersebut disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Tambah Henry, proses tersebut juga membantu memperkembangkan ekonomi dan ekuiti penduduk di Daerah Bau melalui keusahawanan dan perdagangan.
Beliau percaya ia akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan seterusnya meningkatkan kuasa membeli penduduk Bau.
Majlis penyerahan hari ini membabitkan sebanyak 579 Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN untuk kegunaan kediaman yang diukur melalui program pengukuran kampung tradisional dan juga kegunaan pertanian yang diukur dalam kawasan pembangunan tanah Salcra kepada 827 orang pemilik tanah NCR.
Melalui program pengukuran kampung tradisional, penerima surat hak milik tanah dalah dari Kampung Suba Bau, Suba Buan, Suba Bandar, Tasik Biru, Skiat Lama dan Kampung Skiat Baru.
Manakala melalui kawasan pembangunan tanah Salcra pula adalah dari Estet Salcra Bratak, Jagoi, Stenggang dan Undan.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.ā DayakDaily