Sumbangan program Sejambak Kasih akan dimasukkan akaun bank semua penerima

Fatimah (kiri) mengadakan simbolik penyampaian sumbangan Program Sejambak Kasih kepada seorang penerima bantuan kebajikan yang menyambut Hari Raya di Wisma Kebajikan di sini, hari ini.

KUCHING, 20 MEI: Kerajaan Sarawak tidak akan mengadakan sebarang majlis penyampaian sumbangan RM100 Program Sejambak Kasih kepada 42,087 penerima bantuan kebajikan di negeri ini yang akan meraikan perayaan Hari Raya dan Gawai tahun ini.

Menteri Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata sebaliknya sumbangan tahunan dari kerajaan negeri itu hanya akan dimasukan terus ke dalam akaun bank semua penerima bantuan itu sahaja tahun ini.

“Oleh kerana tahun ini kita dalam keadaan dilanda Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat (PKPB) sekarang ini, kita tidak dapat berkumpulan ramai-ramai. Jadi semua sumbangan dikredit terus ke dalam akuan penerima bantuan masing-masing,” katanya ketika mengadakan sidang media dan simbolik penyampaian sumbangan program tahunan terbabit di Wisma Kebajikan di sini, hari ini.

Fatimah berkata dari keseluruhannya seramai 42,087 penerima bantuan kebajikan di Sarawak yang akan menerima sumbangan itu terbahagi kepada seramai 26,753 orang yang menyambut perayaan Gawai dan 15,334 orang yang menyambut perayaan Hari Raya.

Katanya kerajaan negeri memperuntukan keseluruhannya sebanyak 4.2 juta iaitu RM2.6 juta bagi memberikan sumbangan itu kepada penerimanya yang akan meraikan perayaan Gawai dan mencecah RM1.5 juta kepada penerimanya yang akan merayakan Hari Raya tahun ini.

Menurutnya tahun sebelum ini, pihaknya kerap mengadakan majlis penyampaian sumbangan itu secara tunai kepada penerima bantuan kebajikan di seluruh negeri ini dan ditambah dengan pemberian sumbangan hamper barangan.

“Bagi (penerima bantuan kebajikan) yang tidak bersama dalam majlis ini, mereka akan menerima melalui akaun (bank) masing-masing,”katanya.—DayakDaily