Sultan Muhammad V letak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong

Sultan Muhammad V

KUALA LUMPUR, Jan 6: Sultan Muhammad V telah meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong berkuatkuasa hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz memaklumkan, peletakan jawatan baginda itu adalah selaras Perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, baginda sudah memaklumkan perkara tersebut secara rasmi kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja melalui warkah yang diutuskan kepada Setiausaha Majlis Raja-Raja.


“Bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V, dengan ini Istana Negara memaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV berkuat kuasa 6 Januari (Ahad) bersamaan 29 Rabiulakhir 1440H selaras Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Sepanjang menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda berusaha memenuhi tanggungjawab dan amanah selaku Ketua Negara, berperanan sebagai tunggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan di kalangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Wan Ahmad juga memberitahu,Tuanku menzahirkan ucapan terima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja yang memilih baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 bermula 13 Disember 2016.

Jelas beliau, Sultan Muhammad V juga menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
dan kerajaan Malaysia yang memberi kerjasama dalam mentadbir negara.

“Sultan Muhammad V selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera turut berbangga dengan pengorbanan serta taat setia yang dicurahkan kepada baginda dan negara selama ini.

“Kepada rakyat Malaysia, Tuanku bertitah supaya rakyat Malaysia terus bersatu mengekalkan perpaduan, bertolak ansur dan bersepakat dalam memikul tanggungjawab terhadap negara yang berdaulat ini, supaya Malaysia terus berada dalam keadaan aman dan harmoni.

“Tuanku telah bersedia berangkat pulang ke Kelantan Darul Naim untuk bersama-sama dengan kerajaan negeri, dan terutamanya rakyat Kelantan bagi menjaga dan membangunkan negeri itu demi kesejahteraan rakyat,” katanya. — DayakDaily