Sukma XX: Skuad tinju Sarawak mampu lakar kejutan

Abdul Karim (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang di Kejohanan Tinju Sarawak Terbuka 2022. Foto: Ukas

KUCHING, 24 Ogos: Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah optimis skuad tinju Sarawak mampu memenangi lebih dari satu pingat emas yang disasarkan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Kuala Lumpur 2022 pada September depan.

Katanya, menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), keyakinan itu bersandarkan kepada prestasi cemerlang petinju pada Kejohanan Tinju Sarawak Terbuka 2022 yang melabuhkan tirainya di Stadium Tertutup Sri Aman pada Ahad lepas (21 Ogos).

“Daripada apa yang kita lihat, kita lebih kurang tahu bagaimana tahap keyakinan dan juga kemampuan pasukan tinju Sarawak dalam Sukma.


“Insyallah kita akan boleh menyumbang beberapa pingat emas kalau beginilah keadaannya.

“Sasaran emas untuk tinju sekurang-kurangnya satu pingat emas namun harapan saya untuk melihat lebih daripada itu,” katanya ketika ditemui kepada di majlis penutupan kejohanan tersebut pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau berkata Sri Aman berpotensi untuk dijadikan pusat pembangunan sukan tinju di Sarawak selepas melihat sambutan menggalakkan terhadap penganjuran kejohanan tersebut.

Katanya, Persatuan Tinju Negeri Sarawak (Saba) telah berjaya menganjurkan kejohanan itu dengan baik sekali melihat kepada sambutan begitu menggalakkan sejak bermula pada 15 Ogos lepas.

Sementara itu, petinju harapan Sarawak, Daeloniel McDelon Bong atau ‘Kilat Boy’ berikrar untuk memberikan yang terbaik untuk menyumbang pingat emas kepada kontinjen Sarawak pada temasya Sukma nanti.

Ujarnya, keyakinan beliau untuk merangkul pingat emas pertamanya kian meningkat selepas beberapa siri kejayaannya di kejohanan kebangsaan mahupun antarabangsa serta rejim latihan yang semakin diperhebatkan.

“Saya bertambah yakin untuk menyumbang pingat emas kepada Sarawak pada Sukma di Kuala Lumpur nanti.

“Sudah tentu saya akan meningkatkan lagi latihan saya selepas ini untuk menghadapi kejohanan itu,” katanya ketika ditemui.

Pada Kejohanan Tinju Sarawak Terbuka 2022, Daeloniel menceriakan ribuan penyokong tuan rumah dengan merangkul emas selepas menundukkan Muhammad Ridzuan Mohd Razali dari Rejimen Askar Diraja dalam pertembungan tiga pusingan. — DayakDaily