Sukan Jombola berpotensi sebagai tarikan pelancong — Chukpai

Chukpai ketika ditemui di Pelancaran Sukan Jombola.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


Oleh Chris Bishop

KUCHING, 28 Mei: Sukan Jombola berpotensi menjadi tarikan pelancongan sukan negeri, kata Pengerusi Persatuan Jombola Kennedy Chukpai Ugon.

Menurut beliau yang juga Adun Murum, potensi sukan Jombola amat besar di Sarawak.


“Persatuan merancang agar Sarawak menjadi medan perkembangan sukan ini dan mencipta jenama kepada pembuatan alatan sukan, baju dan pembuatan barang dagangan bagi sukan Jombola,” katanya ketika ditemui selesai Perlancaran Jombola Sarawak 2022 di Petra Jaya hari ini.

Tambah Chukpai, pihaknya kini sedang mengatur strategi bagi melaksanakan latihan bagi melahirkan jurulatih dan pegawai teknikal bagi sukan Jombola.

“Sarawak diharap menjadi kuasa besar dalam sukan ini dan mampu menghantar pegawai kita ke luar negara untuk mengadili pertandingan Jombola,” ujarnya.

Menurut beliau, program pertama dicadangkan di Bintulu dengan penganjuran karnival serta klinik dan disusuli ke bandar-bandar utama yang lain.

Kerjasama itu bakal diadakan bersama Majlis Sukan Sarawak, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS).

Seramai 30 peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah dan rendah dari sekitar Kuching menyertai Klinik Jombola yang julung kali diadakan itu.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah. — DayakDaily