Oleh Chris Bishop
KUCHING, April 11: Komuniti etnik Punan antara yang terkecil di Malaysia dengan populasi 8 ribu orang turut merasai ketidakadilan berlaku terhadap Sabah dan Sarawak.
Menurut Presiden Persatuan Kebangsaan Punan (PNA) Daniel Batin, kegelisahan terhadap perkara tersebut berpunca dari cadangan Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang langsung tidak memasukkan perihal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Niat yang tidak jujur dan ikhlas dengan tidak meletakkan MA63 sebagai asas tidak akan memenangi hati rakyat dan akhirnya menghakis semangat kesatuan persekutuan pembentukan Malaysia
“Penolakkan RUU menunjukkan rakyat menginginkan apa-apa pindaan dalam perlembagaan yang melibatkan MA63, perlu melalui sokongan rakyat iaitu melalui DUN Sabah dan Sarawak sebelum di pinda di parlimen.
“Perkara ini penting kerana ianya melibatkan hak dan keistimewaan Negeri Sabah dan Sarawak,” katanya melalui satu kenyataan akhbar hari ini.
Daniel menambah, cadangan pindaan yang disyorkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah tergesa-gesa dan hanya ritorik politik untuk mengaburi mata rakyat selain untuk menunjukan kerajaan menunaikan manifesto mereka.
Beliau dengan tegas mengatakan yang pindaan tersebut amat penting bagi rakyat Sabah dan Sarawak kerana pindaan sebelum ini telah melukai hati mereka.
“Penolakan pindaan itu menunjukan sistem demokrasi yang tulen dimana Dewan Negara adalah platfom tertinggi negara ini untuk membahaskan dasar negara, tanpa mengira fahaman politik semata mata.
“Rakyat Sarawak inginkan apa-apa sahaja pindaan yang dibuat pada perlembagaan tidak akan mengabaikan MA63.
“Jangan hanya mementingkan sejarah 1976, MA63 telah menjanjikan hak dan keistimewaan yang harus Malaya pelihara dan jaga untuk rakyat Sarawak,” katanya.
Oleh yang demikian, tambah Daniel, pindaan itu perlu teliti, cermat dan adil bagi mencerminkan semangat dan roh MA63 yang sebenarnya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada barisan pembahas dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diketuai Dato Sri Fadillah Yusof dan Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang telah mendukung aspirasi rakyat Sarawak.
Beliau juga menyokong perbahasan Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak yang turut memetik kata azimat Tun Jugah Barieng “Anang Malaysia baka tebu, manis di pun, tabar di ujung”. ā DayakDaily