Suami kaki botol bantai isteri

Suspek (tiga dari kiri) dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

MIRI, 2 Jun :  Seorang wanita berusia 23 tahun dibelasah suaminya yang berang kerana ditegur agar tidak meminum minuman keras dan mabuk di rumah mereka di Pujut 1, Padang Kerbau kelmarin (1 Jun).
Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Supt Sabri Zainol berkata, kejadian berlaku sekitar jam 8.11 malam selepas mangsa terlihat suaminya meminum minuman keras di rumah mereka.
“Mangsa bertindak menegur suaminya kerana bimbang suspek akan bertindak agresif seperti kelazimannya selepas minum, yang membawa kepada pertengkaran apabila suspek mula menuduh isterinya mempunyai hubungan sulit,” ujar Sabri.
Sebelum kejadian, suspek dan isterinya ada minum bersama bersempena sambutan perayaan Hari Gawai. Namun isterinya kemudian telah pergi ke rumah kawan untuk minum bersama sebelum pulang semula ke rumah mereka.
Berang selepas ditegur isterinya, suspek telah bertindak memukul bahagian belakang dan kepala isterinya beberapa kali menggunakan tangan.
Suspek juga telah mengambil pisau dan cuma mencederakan isterinya, namun mangsa sempat melarikan diri.
Susulan itu, mangsa telah membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan suspek lebih kurang dua jam selepas kejadian.
Suspek berusia 30 tahun itu kini sedang ditahan polis untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. — DayakDaily