Suami isteri terlibat kemalangan ditangkap, didapati miliki pelbagai rekod jenayah

Kemalangan yang dilaporkan berlaku membabitkan suspek.

KUCHING, 13 Sept: Sepasang suami isteri ditahan kerana dipercayai melanggar sebuah motosikal dinaiki dua lelaki di Jalan Semarak, di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa berkata kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 5.20 petang pada Isnin (12 Sept).

Katanya, mangsa mengalami kecederaan ringan akibat ditampar suspek.


Kedua-dua suspek yang berusia 29 tahun itu berjaya ditangkap kira-kira empat jam selepas kejadian dan video kejadian mula tular di media sosial.

“Siasatan polis juga mendapati si suami mempunyai tujuh rekod lampau melibatkan jenayah serta dadah dan isterinya juga memiliki tiga rekod jenayah serta dadah,” kata Merbin dalam satu kenyataan, hari ini.

Kedua-dua suspek kini ditahan reman untuk siasatan di bawah Seksyen 427 dan 323 Kanun Keseksaan.

Kata Merbin, sebarang maklumat jenayah boleh disalurkan terus dengan menghubungi pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di talian 082-244444 atau menyalurkan maklumat di balai polis yang berhampiran. — DayakDaily