STF rai golongan kurang bernasib sempena Sambutan Krismas 2019

Filepix
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 21 Dis: Pertubuhan Pelancongan Sarawak (STF) hari ini meraikan golongan kurang bernasib dari empat badan amal pada majlis rumah terbuka bersempena Sambutan Krismas 2019.

Menurut pengerusi majlis, Lisa Sideni, rumah terbuka tersebut merupakan yang keempat kali dianjurkan STF pada tahun ini.

Advertisement

Terdahulu katanya, STF telah menganjurkan majlis yang sama untuk perayaan Tahun Baru Cina, Hari Gawai dan Hari Raya.

“Idea penganjuran majlis adalah kerana STF ingin meneruskan aktiviti pada tahun ini. Terdahulu kita telah menganjurkan tiga majlis rumah terbuka,” katanya ketika ditemui pemberita.

Majlis yang diadakan di Dataran Mahkamah Lama Kuching itu diserikan dengan kehadiran Bishop Bahagian Kuching, Reverend Danald Jute.

Golongan kurang bernasib yang diraikan merupakan penghuni dari Rumah Seri Kenangan, Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah, Pusat Kebajikan Masyarakat Kota Samarahan dan Sekolah Khas PERKATA.

Sumbangan dari penderma-penderma turut disampaikan kepada wakil keempat-empat badan amal tersebut.

Di samping itu, majlis juga turut mengadakan aktiviti mengumpul sumbangan dari orang ramai untuk membantu mangsa kebakaran di Rumah Panjang Daniel, Undop, di Sri Aman baru-baru ini.

Tambah Lisa, majlis rumah terbuka ini akan diteruskan pada tahun hadapan dan turut melibatkan sambutan deepavali dan sambutan hari raya ala-melanau. — DayakDaily

Advertisement