Snowdan: Pemimpin DAP cuba kelirukan rakyat

Datuk Snowdan Lawan

KUCHING, Okt 29: Pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak cuba mengelirukan rakyat dengan mengatakan kerajaan Pakatan Harapan(PH) memberi peruntukan besar untuk sekolah daif di Sarawak pada Konvensyen DAP di Miri, Sabtu lepas.

Menurut Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Snowdan Lawan, pemimpin DAP tersebut gagal membezakan peruntukan RM1 bilion yang diberikan kerajaan terdahulu untuk Sarawak.

“Kerajaan terdahulu memperuntukan RM1 bilion untuk kerja baikpulih sekolah daif di negeri ini berbanding peruntukan RM783 juta untuk sekolah daif di seluruh negara.


“Dengan demikian, yang mana lebih besar?,” tegas beliau menerusi satu kenyataan media hari ini.

Berhubung dana pembangunan, tambah Snowdan yang juga Menteri Muda Belia dan Sukan, pemimpin DAP itu sekali lagi gagal dalam perkiraan.

Menurut Snowdan, pemimpin tersebut menganggap peruntukan RM9.6 bilion untuk Sabah dan Sarawak (Sarawak dengan RM4.4 bilion, manakala Sabah dengan RM5.2 bilion) sebagai lebih 30 peratus.

“Sedangkan ia hanya 17.1 peratus daripada keseluruhan dana pembangunan Belanjawan 2020.

“Pemimpin tersebut sanggup mengelirukan rakyat untuk menutupi kegagalan beliau sendiri yang menjanjikan 30 peratus dana pembangunan akan diagihkan kepada Sarawak dan Sabah, jika PH menang PRU-14,” kata Snowdan. — DayakDaily