Snowdan gesa belia lakukan lebih dari satu pekerjaan

Snowdan (barisan kedua, tujuh dari kiri) merakamkan kenangan bersama peserta kursus di Asajaya.

Oleh Chris Bishop

ASAJAYA, 26 Julai: Golongan belia digesa melakukan lebih dari satu pekerjaan untuk memastikan kelangsungan hidup.

Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan berkata, ia adalah satu pilihan dalam situasi tidak menentu ekoran pandemik Covid-19 kini.


“Pada pandemik Covid-19 kini, ramai pekerja yang hilang pekerjaan. Justeru ada yang melakukan pekerjaan sampingan untuk meraih pendapatan.

“Pekhidmatan penghantaran makanan melalui Grab adalah satu pilihan pekerjaan.

“Dalam situasi sekarang, adalah wajar para belia melakukan dua pekerjaan. Jika satu pekerjaan tidak menjadi, yang satu lagi boleh membantu,” katanya.

Snowdan berkata demikian pada majlis penutupan dan penyampaian sijil penyertaan Kursus Asas Fotografi (Telefon Pintar) Di Dewan Tan Sri Datuk Amar Abang Ikwan Zaini, Pejabat Daerah Asajaya, Samarahan hari ini.

Beliau mewakili Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Berhubung program yang dianjurkan, Snowdan berkata ia menghimpunkan belia yang berminat kepada fotografi agar dapat meningkatkan daya kreativiti dan inovatif mereka.

Katanya, antara objektif program adalah mendedahkan belia tentang kepentingan e-photo dalam kerja-kerja seharian.

“Ia juga meningkatkan kemahiran dalam seni digital dan ICT sebagai usaha untuk belia mencari peluang menambah pendapatan selain memberi ruang serta peluang kepada belia untuk mendalami bidang fotografi,” katanya.

Pada majlis itu, Snowdan turut menyerahkan geran bantuan kementerian berjumlah RM10,000 kepada wakil Jawatankuasa Kelab Rekreasi dan Sosial Pejabat Daerah Asajaya.

Seramai 28 peserta dari Asajaya telah menghadiri kursus fotografi selama dua hari bermula 25 Julai. — DayakDaily