SMART buka peluang penduduk luar bandar terlibat dalam era digital — Jefferson Jamit

Jefferson ketika berucap di Pelancaran SMART di Rh Empawi, Sekukut.

KUCHING, 9 Ogos: Penduduk luar bandar juga tidak mahu ketinggalan di dalam era pendigitalan seperti penduduk bandar, kata Timbalan Menteri Undang-Undang Dan Adat Bumiputera Jefferson Jamit.

Justeru kata beliau yang juga Adun Bukit Goram, kewujudan Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication (SMART) telah membuka peluang merealisasikan impian ini.

“SMART membantu merapatkan julang teknologi digital di antara bandar dan luar bandar.

“Ini juga adalah komitmen pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang amat prihatin dalam proses transformasi ekonomi digital untuk rakyat negeri ini, ” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan di Majlis Pelancaran SMART di Rh Empawi di Sekukut, Kapit hari ini.

Pelancaran telah disempurnakan Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi.

Jefferson menyifatkan kewujudan SMART di kawasan tersebut merupakan satu sejarah dan titik permulaan bagi rakyat Kapit menerokai era digital

Warga Kapit katanya, menyambut baik inisiatif kerajaan Negeri yang menyediakan satu sistem kesalinghubungan yang baik.

“SMART juga menyediakan peluang kepada anak-anak muda di pendalaman menjadi pemain di dalam ekonomi digital,” kata Jefferson. — DayakDaily