Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia mulai 7 hingga 31 Dis

Ahli penguatkuasa KPDNHEP menjalankan pemantaun di sebuah pasaraya di sini.

KUCHING, 7 Dis: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) berkuatkuasa pada 7 hingga 31 Dis 2021.

Pengarah KPDNHEP Sarawak Dato Stanley Tan berkata, ia sebagai langkah untuk menstabilkan harga barangan keperluan pada masa ini di samping memastikan keberadaan bekalan di pasaran.

Katanya, skim ini melibatkan barangan keperluan seperti ayam, telur ayam dan beberapa jenis sayur-sayuran.


KPDNHEP turut mengadakan ke Farley Mall di Kuching bagi memastikan bahawa kesemua barang kawalan dijual tidak melebihi harga kawalan.

“Malah, kita mendapati ada beberapa barang kawalan dijual di bawah harga maksimum.

“Konsep ini sesuai dengan hasrat kerajaan menetapkan harga maksimum.

“Peniaga digalakkan menjual barangan pada harga yang lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya harga yang diperolehi adalah lebih rendah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Stanley, KPDNHEP Sarawak sentiasa mengambil usaha dan langkah untuk menstabilkan harga barangan keperluan terutamanya semasa rakyat menyambut musim perayaan.

Ujar beliau, sekiranya peniaga dengan sengaja menaikkan harga tanpa alasan-alasan yang munasabah dengan niat untuk membuat keuntungan tinggi yang berlebihan, Kementerian boleh bertindak di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. — DayakDaily