Skim Bantuan Deposit Perumahan RM10,000 mulai Januari ini

Kelihatan Abang Johari pada sidang media di BCCK, Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 9 Jan: Skim Bantuan Deposit Perumahan yang ditawarkan kepada golongan B40 dan M40 bermula Januari ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan Sarawak akan membantu pembeli membayar deposit sehingga maksima RM10,000.


“Bermakna, jika mereka hendak membeli rumah yang berharga bawah RM300,000, kerajaan akan membantu membayar deposit RM10,000.

“Ini khas untuk mereka kerana saya nampak orang muda yang berumur dalam lingkungan 26 hingga 30 tahun kalau kahwin, simpanan mereka belum cukup untuk membeli rumah.

“Dan kalau hendak membeli rumah, terpaksa menunggu sehingga wang deposit mencukupi,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada satu sidang media yang diadakan setelah selesai Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ke-13 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam ini.

Tambah beliau yang juga Presiden PBB, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menyediakan peruntukan bagi tujuan tersebut.

Katanya, ia memberi kemudahan kepada rakyat untuk memiliki rumah di usia muda.

“Kalau membeli rumah dalam lingkungan umur 40-45 tahun, tempoh pembayaran adalah pendek maka mereka terpaksa membayar lebih.

“Manakala jika membeli ketika di dalam lingkungan umur 27-28 tahun, bermakna tempoh pembayarannya panjang dan dia tak bayar banyak,” katanya.

Terdahulu, kerajaan Sarawak memperuntukkan RM10 juta di bawah skim ini menerusi Belanjawan Negeri 2022. — DayakDaily