SK Nanga Jagau, SK Nanga Nirok dan SK Nanga Balingiau di Ngemah dicadang bergabung

Datuk Dr Annuar Rapaee

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 17 Mei: Kerajaan bercadang menggabungkan tiga sekolah yang di dalam kategori sekolah kurang murid (SKM) di Ngemah, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Dr Annuar Rapaee.

Menurut Annuar, ketiga-tiga sekolah tersebut ialah SK Nanga Jagau, SK Nanga Nirok dan SK Nanga Balingiau.

“Pendaftaran murid bagi SK Nanga Jagau ialah 26 murid, SK Nanga Nirok 38 murid dan SK Nanga Balingiau 78 murid.

“Kalau digabungkan jumlah murid hanya 140 orang dan masih di bawah 150.

“Penyelesaian terbaik ialah dengan menggabungkan ketiga-tiga sekolah di satu kawasan untuk komuniti di sekitarnya,” kata Dr Annuar bagi menjawab soalan Adun Ngemah Anyi Jana di Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Tambah Dr Annuar, sebarang usaha untuk menutup sekolah tersebut bagi tujuan penggabungan harus mendapat persetujuan komuniti sekitarnya.

“Saya menggesa wakil rakyat Ngemah (Anyi) untuk menyakinkan penduduk bahawa penyelesaian terbaik adalah dengan menggabungkan ketiga-tiga sekolah.

“Mencari tapak baharu yang sesuai bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang selesa,” kata Dr Annuar. — DayakDaily