Situasi semasa Covid-19 membimbangkan, kata Dr Noor Hisham

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 21 Julai: Jumlah kes harian positif Covid-19 terutamanya kes penularan di dalam negara terus meningkat dan amat membimbangkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut beliau, jumlah kes aktif kembali melebihi 100 kes pada 19 Julai 2020 dan kini ianya mencecah 130 kes.


Sebelum ini katanya, jumlah kes aktif telah menurun kepada 63 kes, iaitu pada 9 Julai 2020.

“Sehingga 21 Julai 2020, jumlah kluster yang aktif adalah 19 kluster, di mana terdapat 13 kluster baharu yang diumumkan dalam 10 hari kebelakangan ini.

“Tiga daripada 13 kluster ini adalah berkaitan dengan penularan tempatan kes Covid-19 daripada kes import iaitu Kluster PUI Novgorod, PUI Shirala dan PUI Pitakwa.

“Kluster Jupiter tidak mengakibatkan penularan tempatan memandangkan ianya melibatkan kluster terpencil di dalam sebuah kapal yang sedang berlabuh,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Justeru kata Dr Noor Hisham, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyambut baik keputusan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah diumumkan oleh Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Ia mewajibkan prosedur kuarantin wajib 14 hari kepada mana-mana warga asing atau rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara di stesen kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan, berkuatkuasa 24 Julai 2020.

“Ini diharap dapat mengelakkan daripada berlaku lagi kluster seperti ini,” ujar beliau.

Namun begitu jelas Dr Noor Hisham, harus diingat bahawa terdapat juga 9 kluster lain yang merupakan penularan berkaitan kes tempatan di dalam negara, dan tidak berkaitan dengan kes import.

Ini menunjukkan masyarakat sememangnya telah mulai alpa dan leka, lalu mula tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, ujar beliau lagi. — DayakDaily