KUCHING, 10 Mei: Situasi kritikal bagi penggunaan katil rawatan rapi (ICU) juga berlaku di hospital-hospital kerajaan di Sarawak.
Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Dr Chin Zin Hing, ini termasuk Hospital Umum Sarawak, Hospital Sarikei, Hospital Sibu, Hospital Bintulu dan Hospital Miri.
“Oleh itu, adalah penting bagi semua orang mengambil langkah-langkah pencegahan dengan memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal menjaga kebersihan tangan dan juga mematuhi SOP yang berkuatkuasa.
“Elak berkumpul beramai-ramai terutamanya semasa musim perayaan dan juga majlis sosial yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Dr Chin, mereka yang bergelaja atau kontak kepada kes Covid-19 perlu mendapat rawatan dan saringan dengan segera.
Katanya, tanpa kerjasama dan pematuhan SOP oleh orang ramai, kes Covid-19 di Sarawak akan terus meningkat.
“Kapasiti rawatan rapi di hospital tidak dapat menampung keperluan rawatan rapi oleh pesakit yang memerlukan dan kadar kematian kes Covid-19 akan meningkat,”ujar beliau. — DayakDaily