Oleh Chris Bishop
PADAWAN, 22 Jun: Sungai Sarawak Kiri di Padawan mampu menjadi kawasan pembiakan dan pengeluaran ikan empurau, kata Menteri Muda Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil.
Beliau, yang juga ADUN Mambong, percaya dengan kejayaan Sistem Tagang yang diperkenalkan beberapa tahun yang lepas, di mana ekosistem sungai tersebut sesuai untuk pembiakan ikan empurau dan ikan-ikan lain seperti semah dan tengadak.
“Apabila kita mencadangkan sistem tagang di kawasan Padawan iaitu di Kampung Danu, Git dan Semedang, ianya mendapat sambutan baik dari penduduk setempat.
“Mereka mengambil tanggungjawab untuk menjaga kebersihan sungai dan inilah hasil program yang melibatkan penduduk setempat,” katanya di Majlis Perasmian Sistem Tagang dan Pesta Ga’ak Danu di Kampung Danu, di sini, hari ini.
Majlis dirasmikan Menteri Muda Pembangunan Tanah Adat Datuk Roland Sagah yang mewakili Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah.
Pada majlis tersebut, Dr Jerip dan Sagah turut melepaskan 2,000 ekor anak ikan empurau bersaiz 2 inci dan 5,000 ekor anak ikan tengadak ke sungai.
Kedua-dua pemimpin ini juga turut bersama penduduk setempat menangkap ikan beramai-ramai mengunakan jaring di kawasan tagang.
Dr Jerip yang juga Penaung Pesta Da’ak menambah, kejayaan sistem tagang telah menjadikan sungai begitu cantik dan bersih.
“Semakin lama sungai ini menjadi semakin bersih, dipenuhi ikan dan mampu menarik pelancong datang.
“Lama-kelamaan penduduk bandar seperti dari Kuching, Sibu dan Miri ingin melihat sungai mana yang masih kekal bersih, jernih serta yang ada ikan tenggadak, ikan empurau, ikan semah dan lain-lain.
“Kemungkinan Sungai Baleh sudah tiada ikan ini lagi dan begitu juga dengan Sungai Baram, tetapi Sungai Sarawak Kiri di kawasan Padawan sahaja yang masih ada,” tambah Dr Jerip.
Di samping itu, beliau berkata sungai yang cantik dan bersih adalah satu aset yang boleh dikomersialkan menjadi produk pelancongan.
“Ini adalah aset yang kita boleh komersialkan sebagai produk pelancongan. Sungai boleh kita komersialkan, tempat tagang boleh kita komersialkan dan penduduk yang peramah pun kita boleh komersialkan,” ujar beliau.
Pesta Ga’ak Danu diadakan dari 21 sehingga 23 Jun dan di antara pengisian pesta adalan persembahan kebudayaan, sukan lasak, pertandingan memancing dan aktiviti sungai yang lain. — DayakDaily