KUCHING, 25 Julai: Siri ke-7 Program ‘Advancing Racial, Cohesion And Harmony (ARCH) Unity Lab’ anjuran Yayasan Perpaduan Sarawak (YPS) telah diadakan di Kuching hari ini.
Program telah dirasmikan Timbalan Pengerusi YPS Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu dan turut disertai Ketua Eksekutif Datu Aloysius J Dris.
“Perpaduan dan keharmonian di Sarawak jauh lebih baik daripada negeri-negeri lain di Malaysia.
“Ini adalah disebabkan rakyat negeri ini saling hormat menghormati, memahami dan bertoleransi diantara satu sama lain,” kata Jabu dalam ucapan perasmian beliau.
Tambah beliau, pemahaman rakyat dari pelbagai bangsa dan agama ini telah meletakkan Sarawak berada di kedudukan tiga teratas dari sudut ekonomi.
Katanya, peningkatan ini agak ketara jika dibandingkan di era awal merdeka dimana Sarawak berada di kedudukan tiga terbawah.
“Ini berlaku kerana suasana harmoni dan kestabilan politik di Sarawak.
“Pemimpin terdahulu dan sekarang berjaya meningkatkan ekonomi negeri hasil kerjasama dan sikap dedikasi rakyat dalam memelihara perpaduan,” ujar Jabu.
Siri Pertama Arch Unity Lab telah diadakan di Limbang pada bulan Mei lepas.
Seterusnya program telah diadakan di Miri, Bintulu, Mukah, Sibu dan Kapit yang melibatkan 200 peserta dari agensi kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ketua masyarakat termasuk para belia.
Terdahulu Aloysius dalam ucapan aluannya berkata, YPS akan menganjurkan program yang sama di Sarikei, Betong, Sri Aman dan Serian.
Siri Ke-7 yang diadakan di sebuah hotel di sini melibatkan peserta dari Bau dan Kota Samarahan. — DayakDaily