Sindiket penipuan menggunakan WhatsApp dipercayai muncul lagi

Pesanan menang hadiah cabutan bertuah RM20,000 mencurigakan yang diterima Cynthia baru-baru ini.

KUCHING, Dis 24: Orang ramai di bandaraya ini ada menerima pesanan mencurigakan di aplikasi WhatApps yang mereka telah menang hadiah cabutan bertuah akhir tahun sebanyak RM20,000 dari sebuah syarikat barangan makanan terkemuka tanahair.

Pesanan terbabit dipercayai dari sindiket penipuan mendakwa yang pemilik telefon bimbit memenangi hadiah itu dan memberikan nombor pin serta meminta mereka menghubungi pusat perkhidmatan syarikat terbabit.

Seorang warga bandaraya ini yang hanya mahu dikenali sebagai Cynthia dari Batu Kawa antara yang menerima pesanan mencurigakan terbabit baharu-baharu ini.


“Saya tidak melayan pesanan WhatApps terbabit kerana percaya ianya satu penipuan kerana saya tidak pernah menyertai sebarang peraduan sebelum ini,” katanya.

Disamping itu, beliau juga yakin pesanan tersebut satu penipuan kerana tiada sebab ada syarikat terkemuka itu secara tiba-tiba mahu memberikan wang percuma kepada orang ramai melalui aplikasi telefon pintar.

Sementara itu, di laman sesawang syarikat barangan terkemuka terbabit sudah ada memberikan amaran kepada orang ramai mengenai sindiket penipuan melalui aplikasi WhatApps yang menawarkan sumbangan tunai mengunakan nama syarikat mereka.

Syarikat tersebut sehubungan itu menasihatkan orang ramai tidak mempercayai pesanan WhatsApp itu dan mereka juga tidak membuat sebarang bayaran dan mengelakkan memberikan sebarang butiran peribadi termasuk nombor akaun bank serta menghubungi pusat khidmat penguna syarikat itu bagi menyemak samada sesuatu pesanan itu satu penipuan.

Kenyataan amaran itu telah dikeluarkan oleh syarikat berkenaan pada Dec 29, 2017, tapi adalah dipercayai sindiket penipuan itu masih aktif sehingga kini. — DayakDaily