Simpan RM31 bln simpanan negeri untuk masa depan, kata Peter Minos

Datuk Peter Minos (file pic)
Advertisement

KUCHING, Nov 6: Kerajaan negeri disarankan terus menyimpan RM31 bilion simpanan negeri ini bagi kegunaan lebih penting di masa depan dan menjadi jaminan kestabilan kewangan negeri ini.

Penganalisa politik dan pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan, Datuk Peter Minos berkata demikian berikutan kerajaan negeri telah tidak mengunakan simpanan terbabit bagi membiayai Belanjawan 2019 Kerajaan Negeri yang dibentangkan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

“Kita tidak akan menganggu simpanan yang baik RM31 bilion terbabit. Simpanlah bagi hari hujan, bagi kestabilan kewangan (Sarawak),” katanya dalam kenyataan medianya semalam.

Advertisement

Peter berkata belanjawan kerajaan negeri juga harus diberikan pujian kerana berbelanja mengikut kemampuan negeri ini malahan mempunyai lebihan sebanyak RM122 juta dan bukan defisit.

“Sarawak pada 2019 akan berbelanja sebanyak RM10.39 bilion dan menjana pendapatan sebanyak RM10.51 bilion maka memberi lebihan sebanyak RM122 juta. Tiada defisit. Ini amat baik bagi semua belanjawan,” katanya.

Beliau berkata salah satu kelebihan belanjawan kerajaan negeri tahun depan berbanding belanjawan kerajaan pusat ialah dari segi perbelanjaan pembangunan sosial dan ekonomi Sarawak yang lebih besar dari perbelanjaan operasi.

“Bagi pembangunan sosial dan ekonomi Sarawak adalah sebanyak RM9.03 bilion atau 76 peratus belanjawan (2019 kerajaan negeri) dan hanya 24 peratus bagi perbelanjaan operasi. Belanjawan (2019) kerajaan pusat adalah bertentangan sepenuhnya,” katanya.

Minos berkata menetapkan belanjawan pembangunan merangkumi 76 peratus belanjawan tahun depan adalah tindakan yang betul kerana akan mewujudkan kekayaan dan kemakmuran, peluang pekerjaan dan peluang menambah pendapatan kepada penduduk negeri ini.

Katanya dari keseluruhan perbelanjaan pembangunan RM9.03 bilion, sebanyak RM6 .05 bilion dari jumlah itu adalah bagi menyediakan kemudahan asas terutama bekalan air luar bandar, jalan, jambatan dan bekalan elektrik yang sudah lama dinantikan penduduk negeri ini.

“Lupakan sahaja kerajaan pusat membantu Sarawak dalam isu mengejar kemajuan (Semenanjung) ini. Mereka secara mudahnya tidak tahu dan faham,” katanya.

Katanya disebabkan sikap mereka yang tidak ambil peduli itu juga Sarawak mesti berdiri atas kaki sendiri dan ini bermula dengan belanjawan kerajaan negeri tahun depan dan tidak lagi terlalu bergantung kepada kerajaan pusat. — DayakDaily

Advertisement