Siasatan Terhadap Anwar bukan sebab tekanan, arahan politik berkepentingan

Datuk Seri Anwar Ibrahim

Oleh Cornelius Kadir Edison

KUALA LUMPUR, 17 Okt: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan siasatan yang dijalankan terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilakukan secara profesional tanpa tekanan politik atau arahan mana-mana pihak berkepentingan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, Anwar hadir ke Bukit Aman semalam bagi dirakam keterangannya berhubung penyiasatan ke atas penyebaran  senarai nama 121 ahli parlimen yang di dakwa menyokongnya dalam Portal MH Daily.


Katanya, kertas siasatan terhadap  Presiden PKR itu dibuka selepas 113 aduan diterima oleh pihak polis sehingga kini dari kalangan ahli parlimen yang menafikan sokongan terhadap beliau (Anwar) dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen  505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998

“Dakwaan tersebut telah tersebar luas di media massa hingga mencetuskan pelbagai spekulasi tidak sihat.

“Penyebaran di laman sesawang dilakukan dengan niat menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam atau golongan awam supaya mungkin terdorong melakukan sesuatu kesalahan terhadap negara atau ketenteraman awam,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Kata Huzir, selain memberi keterangan berkaitan penyebaran senarai nama terbabit, Anwar turut memberikan keterangan terhadap lima kes lain melibatkan beliau.

“Selain kes terbabit, rakaman percakapan Datuk seri Anwar turut diambil berkenaan isu kenyataan bahawa kerajaan Pimpinan Perdana Menteri telah jatuh atas kekurangan sokongan majoriti ahli parlimen, kes liwat dan akuan bersumpah oleh Aidil Azim Abu Adam, video ucapan mengatakan kedai judi beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Video ucapan mendakwa terdapat 6.7 juta warga asing berada dalam Malaysia dan sidang media penyerahan dokumen sahih kepada Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong,” katanya.

Huzir berkata, rakaman percakapan Presiden PKR terbabit diambil di Unit Siasatan Jenayah Terkelas (UJST) Bukit Aman Semalam.

Dia (Anwar) hadir di pejabat UJST Bukit Aman ditemani peguam Ramkarpal Singh Deo dan Setiausaha Politiknya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Huzir dalam pada itu turut menggesa orang ramai untuk memberikan ruang sepenuhnya kepada pihak polis agar kes berkenaan dapat dilakukan secara telus dan adil.

“Kita tidak akan teragak-agak dan tindakan tegas akan diambil kepada sesiapa yang cuba atau sengaja ingin menggugat kenteraman dan keselamatan awam tanpa mengira pangkat atau status sosial seseorang itu,” tegas beliau. -DayakDaily