Siapkan segera kerja naiktaraf pembentung di persimpangan Taman Mawar, Jambusan – Henry

Henry semasa melakukan tinjauan di tapak projek yang mana pembentung lama bersaiz kecil merupakan penyebab kepada masalah banjir di Taman Mawar.

Oleh Chris Bishop

BAU, 3 Jan: Timbalan Menteri Pengangkutan (Laut Dan Sungai) Dato Henry Harry Jinep menggesa pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor mempercepatkan kerja menaiktaraf pembentung di jalan masuk ke Taman Mawar di Jambusan, Bau.

Menurut beliau, ia penting bagi memastikan kawasan perumahan tersebut tidak lagi dilanda banjir seperti sebelum ini.


“Peruntukan sejumlah RM900 000 telah diperolehi daripada kerajaan negeri bagi memastikan kawasan perumahan Taman Mawar bebas banjir.

“Ia melibatkan kerja menukar pembentung lama kepada yang baharu, yang lebih besar bagi melancarkan aliran air,” katanya ketika ditemui semasa lawatan ke tapak di persimpangan Taman Mawar hari ini.

Henry yang juga Adun Tasik Biru turut menggesa JKR serta kontraktor untuk melakukan kerja-kerja mengorek pembentung terlebih dahulu iaitu di jalan masuk ke Taman Mawar.

Katanya, ia bagi memastikan kawasan tersebut tidak dilanda banjir disebabkan pada masa ini adalah musim hujan.

“Kalau boleh pihak terlibat melakukan kerja mengorek dahulu, ini mungkin menyelesaikan masalah banjir.

“Saya berharap mereka boleh bermula esok dan siap dalam tempoh 2 minggu. Proses seterusnya adalah menyiapkan kerja memasang pembentung baharu,” ujar Henry.

Projek menaiktaraf pembentung tersebut telah bermula pada Oktober lepas dan dijadual siap dalam masa lima bulan.

Ratusan keluarga yang mendiami Penduduk Taman Mawar sering dilanda banjir teruk sejak 2021. — DayakDaily