Si anak disyaki bakar rumah bapa di Jalan Astana ditangkap polis

Keadaan rumah tersebut yang terbakar.

KUCHING, 30 Mac: Anak pemilik rumah yang terbakar di Jalan Astana ditahan polis kerana disyaki punca kebakaran rumah dua tingkat tersebut semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata suspek, 28 tahun, terdahulunya dikatakan membakar sampah sehingga api marak dan menyambar dinding papan rumah tersebut.

Katanya, saksi yang melihat kejadian tersebut memberitahu suspek hanya membiarkan api tersebut dan tidak berusaha memadamnya sehingga orang kampung tiba.


Ekoran itu, bertindak daripada laporan yang diterima suspek terus ditangkap untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

Jelasnya, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Selain itu, suspek turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana didapati positif dadah jenis Amphetamine.

Dia akan ditahan reman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut.— DayakDaily