This Content Is Only For Subscribers
Oleh Chris Bishop
KUCHING, 12 Julai: Tanah yang diserahkan kepada kerajaan persekutuan tetapi tidak dibangunkan selepas 5 tahun mesti dikembalikan semula kepada Sarawak, tegas Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Katanya, kerajaan Sarawak serius berhubung perkara tersebut dan tidak membenarkan ia terus kekal milik kerajaan persekutuan.
“Pihak persekutuan membuat permohonan untuk memiliki tanah bagi tujuan membina pejabat mereka, tapi tidak dibangunkan. Ada yang lebih 20 tahun.
“Sebagai contoh tanah yang bersebelahan dengan Komplek Sukan Sarawak, ia sepatutnya menempatkan pejabat polis Badruddin.
“Setelah diberi, mereka tidak jadi pindah dan tanah tersebut kekal milik persekutuan,” katanya pada sidang media di Kuching hari ini.
Terdahulu Abdul Karim merasmikan Majlis Pra-Pelancaran Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2023.
Tambah beliau, Sarawak tetap dengan pendirian bahawa prinsip-prinsip penyerahan balik yang telah dipersetujui pada Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia lepas.
Katanya, mana-mana tanah yang tidak dibangunkan setelah lima tahun harus dikembalikan kepada Sarawak.
Pada semalam, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata kerajaan persekutuan pada April lalu bersetuju menyerah balik kepada Sarawak sejumlah 54 lot daripada 218 lot tanah yang disenaraikan kerajaan Negeri. — DayakDaily