Sesi persekolahan kecoh asrama sekolah terbakar

Anggota bomba melakukan pemantauan selepas kejadian kebakaran di asrama sekolah SK Sungai Tuah, Kanowit.

KANOWIT, Julai 4: Sesi pengajaran dan pembelajaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tuah di sini bertukar menjadi kecoh apabila sebuah blok bangunan asrama di sekolah berkenaan terbakar.

Kejadian pada pukul 11.50 pagi itu telah mengakibatkan bangunan asrama tersebut terbakar kira-kira 50 peratus.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 11.51 pagi.


Katanya, sepasukan lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit kemudian diarahkan ke sekolah berkenaan untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Apabila sampai di lokasi kejadian kira-kira pukul 12.43 tengah hari, pasukan bomba mendapati kebakaran tersebut berjaya dipadamkan oleh kakitangan sekolah berkenaan.

“Berdasarkan maklumat, mereka telah menggunakan alat pemadam api sebanyak 13 unit bagi memadamkan kebakaran tersebut,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, pasukan bomba kemudian melakukan kerja-kerja pemantauan dan memastikan keadaan adalah terkawal serta selamat.

Jelasnya, kebakaran itu tidak melibatkan sebarang kecederaan kerana semasa kejadian murid-murid berada di dalam kelas masing-masing.

“Buat masa ini, pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian yang dialami.

“Operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada pukul 1.10 petang,” ujarnya lagi. — DayakDaily