Sepuluh sekeluarga hilang tempat tinggal akibat kebakaran

Keadaan api yang marak sedang mebakar rumah mangsa.
Advertisement

KOTA SAMARAHAN, Mac 4: Sepuluh sekeluarga di Kampung Tanah Putih Endap di sini hilang tempat tinggal dalam sekelip mata selepas kediaman mereka musnah terbakar hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 1.40 petang itu mengakibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis berstruktur separuh kekal telah terbakar kira-kira 80 peratus.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan, Sulaiman Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran tersebut pada pukul 1.43 petang.

Advertisement

Katanya, 16 anggota bomba dari BBP Siburan dan BBP Kota Samarahan kemudian dikerahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati api sedang marak membakar kediaman berkenaan.

“Api marak cepat disebabkan rumah tersebut diperbuat daripada papan dan bahan mudah terbakar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Sulaiman memberitahu, siasatan awal mendapati tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Katanya, kesemua penghuni rumah tersebut berjaya keluar melarikan diri ketika kebakaran itu, namun mereka gagal menyelamatkan beberapa dokumen penting.

“Buat masa ini, pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu,” katanya lagi. — DayakDaily

Advertisement