Sepasang suami isteri maut, kereta dinaiki terjatuh dalam gaung



O

leh Dean Adam
SERIAN, Ogos 8: Sepasang suami isteri maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas lalu terjatuh ke dalam gaung di KM 77 Jalan Kuching-Sri Aman di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, dua mangsa yang disahkan meninggal dunia ialah Recca Tutong Sabai, 35, dan Mika Giang, 37.
Ketua Polis Daerah Serian, DSP Aswandy Anis berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan dari arah Sri Aman menuju ke Serian.
Bagaimanapun katanya, apabila tiba di lokasi kejadian kereta Proton Saga FLX yang dinaiki mereka tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas dan terjatuh ke dalam gaung.
“Impak kemalangan itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah.
“Petugas hospital yang tiba di lokasi kejadian kemudian mengesahkan kematian kedua-dua mangsa,” katanya di sini hari ini.
Aswandy menambah, mayat kedua-dua mangsa kemudian bdibawa ke Hospital Serian untuk dibedah siasat.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily