KUCHING, 1 Sept: Seorang wanita disahkan meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jalan Batu Kawa-Bau malam tadi.
Mangsa berusia 33 tahun dan berasal dari Jalan Sungai Moyan, Batu Kawa.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa semasa kejadian memandu sebuah kereta jenis Perodua Kenari menuju ke arah Bau sekitar jam 10.30 malam.
Katanya, mangsa seorang diri semasa kejadian apabila tiba-tiba dilanggar sebuah kereta jenis Toyota Caldina dari arah belakang.
Difahamkan kereta mangsa terbabas lalu terbalik sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemandu Toyota Caldina dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak.
Siasatan lanjut polis masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily