Seorang wanita diikat tangan dan kaki ditemui mati dipercayai dibunuh

Anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke Hospital Sibu.
Advertisement

SIBU, Ogos 2: Kebimbangan rakan sekerja terhadap seorang wanita yang gagal dihubungi dan tidak turun kerja membawa kepada penemuan mayat penjawat awam berkenaan di dalam sebuah bilik sewanya di Jalan Tiong Hua di sini petang tadi.

Lebih memilukan, mayat wanita yang dikenalpasti sebagai Nurnia Azalea Priscilla Edward, 26, itu dijumpai dengan keadaan tangan dan kakinya diikat pada tepi katil di dalam bilik sewa berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, mayat mangsa yang juga merupakan seorang penjawat awam ditemui kira-kira pukul 3 petang.

Advertisement

Jelas beliau, mayat wanita malang berkenaan dijumpai oleh rakan-rakan sekerjanya yang pergi ke bilik sewa mangsa selepas mangsa gagal dihubungi dan dikesan tidak turun bekerja.

“Terkejut melihat keadaan mangsa yang sudah tidak bernyawa dan dengan keadaan tangan serta kakinya diikat, rakan wanita itu kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Pasukan polis yang kemudiannya membuat pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati mangsa mati dipercayai akibat dibunuh,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Stanley memberitahu, mangsa yang berasal dari Kanowit itu bekerja di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sibu.

Katanya, mangsa dikatakan tinggal seorang diri di bilik sewanya, manakala suaminya pula bekerja di salah sebuah sekolah di Tatau.

“Buat masa ini pihak polis masih menyiasat motif kejadian dan mengesan suspek yang terlibat dalam kes berkenaan.

“Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Sibu untuk dibedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya lagi. — DayakDaily

Advertisement