Seorang suspek pecah rumah tak sempat joli hasil curi dicekup polis

Suspek pecah rumah diberkas polis petang Sabtu.

MIRI, 1 Mei: Seorang lelaki warga tempatan diberkas polis pada petang Sabtu (30 April) , hanya beberapa jam selepas memecah masuk sebuah rumah di Riam Jaya kelmarin.

Suspek berusia 31 tahun itu ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri sekitar jam 5.15 petang di tempat parking motorsikal di Taman Bulatan selepas polis dimaklumkan mengenai insiden pecah rumah tersebut pada jam 3 petang Sabtu.

Semasa ditahan, pihak polis turut berjaya menemukan beberapa barangan dipercayai dicuri dan wang tunai sebanyak RM4,612 daripada suspek.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, kerugian dianggarkan sekitar RM75,000.

Dalam kejadian tersebut, beberapa barangan berjenama dan wang tunai sebanyak RM30,000 dilaporkan hilang dipercayai dilarikan oleh suspek.

Difahamkan, kelibat suspek yang tidak memakai baju berjaya dirakam oleh CCTV kediaman pengadu.

Suspek kini sedang ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksasaan kerana melakukan pecah rumah. — DayakDaily