Seorang petani dari Sri Aman disahkan pesakit terbaru dijangkiti virus rabies

A dog being administered with the anti-rabies vaccine during a vaccination programme in this file photo.

KUCHING, Ogos 17: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat satu kes rabies dalam kalangan manusia yang baharu disahkan, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pesakit itu
adalah seorang lelaki – petani berbangsa Iban dan berumur 49 tahun – yang tinggal di Sri Aman.

Menurutnya, pesakit pernah digigit oleh anjing peliharaannya pada Januari dan tidak mendapatkan rawatan selepas itu.


“Pada 11 Ogos lepas, pesakit berkenaan telah mendapatkan rawatan di Hospital Serian kerana mengalami demam dan sesak nafas.

“Di dalam wad, pesakit tersebut menunjukkan tanda-tanda hidrofobia dan lemah badan. Pesakit kemudiannya telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak pada Selasa lepas dan kini dirawat di wad penyakit berjangkit dan dalam keadaan kritikal,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dr Noor Hisham menambah, anjing peliharaan pesakit itu bebas bercampur dengan anjing liar dan telah mati seminggu selepas menggigit lelaki tersebut.

Bagaimanapun jelasnya, tiada pengesahan dapat dibuat bagi punca kematian anjing tersebut.

“Anjing itu juga pernah mengigit seorang penduduk dari kampung yang sama dalam bulan Januari tahun ini.

“Mangsa gigitan ini telah dikenal pasti dan telah diberikan suntikan vaksin anti-rabies semalam. Beliau dalam keadaan sihat dan akan dipantau Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dalam tempoh enam bulan,” katanya lagi.

Beliau menambah, dengan pengesahan kes terbaru itu, jumlah kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak semenjak pengisytiharan wabak semenjak 30 Jun tahun lepas adalah 12 kes.

Ujarnya, di mana 10 kes telah meninggal dunia, satu kes masih dirawat di rumah dengan komplikasi neurologi dan satu kes terbaru masih dalam rawatan.

“Kerajaan negeri Sarawak telah mengisytiharkan 33 buah kawasan di lima bahagian di Sarawak sebagai kawasan jangkitan rabies; iaitu Serian (21 kawasan), Kuching (6), Samarahan (3), Sarikei (2) dan Sri Aman (1).

“Sehubungan itu, KKM ingin menasihati orang awam agar mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut bagi mengelakkan daripada penyakit rabies,” ujarnya lagi. — DayakDaily