Seorang maut, tiga parah dalam nahas dua kenderaan di Sebuyau

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Advertisement

SIMUNJAN, 26 Mei: Seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera parah apabila kereta yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori berdekatan Kampung Sebuyau pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 8.17 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan dan Asajaya dikerahkan ke lokasi kejadian.

Advertisement

“Setelah Komander Operasi membuat size up beliau mengarahkan anggota menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan ‘crow bar’ dan mengalihkan barang-barang yang menghalang kerja-kerja mengeluarkan mangsa.

“Mangsa iaitu penumpang yang duduk bersebelahan pemandu yang tidak sedarkan diri telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) yang turut berada di lokasi.

“Manakala tiga mangsa yang cedera dibawa menggunakan dua buah ambulans ke Hospital Simunjan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Punca kemalangan masih dalam siasatan. — DayakDaily

Advertisement