Seorang maut, tiga cedera dalam kemalangan di Beladin

Anggota Bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.

SARATOK, 13 Jun: Seorang meninggal dunia, manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jalan Beladin Sepinang, semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kejadian dilaporkan berlaku pada jam 4.13 petang.

Katanya, kemalangan membabitkan dua buah kereta iaitu Perodua Myvi dan Proton Wira yang bertembung sehingga mengakibatkan seorang mangsa tersepit.


“Dalam kejadian tersebut, sepasang suami isteri yang menggunakan Perodua Myvi telah mengalami kecederaan dan mereka telah dikejarkan ke klinik Kesihatan Beladin oleh orang awam.

“Manakala sepasang lagi suami isteri di Proton Wira, di mana si suami yang tersepit di bahagian pemandu telah disahkan meninggal dunia dan isterinya dilaporkan mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Operasi selesai mengeluarkan mangsa yang tersepit pada jam 6.57 petang.

Mangsa yang cedera telah dihantar ke klinik berdekatan manakala mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. — DayakDaily